Tuesday, September 29, 2009

AGAMAWAN DINAMIK PROMOTER ISLAM TERBAIK

Golongan agama suatu masa dahulu adalah golongan yang sangat dihormati seperti tok-tok guru dan ulamak, malah mereka sering menjadi rujukkan warga kampung dan sebagainya. Namun penghormatan ini semakin terhakis dan diketepikan peranannya. Melihat situasi mutakhir ini, kenyataan dan isu yang timbul berbaur sensitif menyentuh perihal keagamaan, sama ada berkenaan agama Islam mahupun berkaitan amalan agama lain. Apa yang paling menyedihkan ada antara isu tersebut dipolitikkan lantaran kejahilan dan dorongan hati hitam yang merajai diri. Jika dilihat perkembang terkini terhadap penerimaan ajaran dan pelaksanaan Islam oleh masyarakat non muslim khususnya, ia semakin memberansangkan. Ini merupakan khabar gembira kepada seluruh umat Islam dan pejuang kebenaran. Oleh kerana itu, realiti yang begitu positif ini memerlukan tenaga-tenaga atau promoter-promoter terbaik dan ia mesti digerakkan secara khusus terutama golongan agamawan.

Allah berfirman yang bermaksud :
“ serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya. Dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. Surah An-Nahl ayat 125.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ katakanlah : beramalalah kamu, sesungguhnya Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin akan melihat amal kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui perkara ghaib dan nyata. Maka (Allah) akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan”. Surah At-Taubah ayat 105.

Ayat ini jelas kepada kita suruhan beramal atau bekerja (dakwah) iaitu menyeru manusia kepada mengEsakan Allah SWT dan supaya menyeru manusia ke jalan yang satu iaitu beragama dengan agama Islam dengan mengimani secara keseluruhannya sama ada berkaitan perkara ghaib mahupun nyata. Maka menjadi kewajipan setiap yang arif dan alim dalam selok belok agama Islam ini untuk menjuarai dan terkehadapan dalam menangani pelbagai isu berkaitan hukum, fatwa ataupun misi penerangan Islam secara syumul bukan juzu’. Berdasarkan maksud nas di atas, boleh kita fahami bahawa Allah tidaklah bertanya akan hasil yang kita perolehi dari seruan tersebut tetapi Allah akan bertanya dan memberitahu kembali apa yang kita sumbangkan untuk Islam. Ingatlah Allah yang memberi hidayah petunjuk setelah seruan itu dilaksanakan.

TARBIAH SEBAGAI NUKLEARS DINAMIK PEJUANG

Dalam mengharungi kepelbagaian cabaran dalam misi penerangan dan menjadi promoter pruduk islam yang terbaik, ia memerlukan sandaran yang benar-benar ampuh dan kuat. Apa yang sering menjadi perbahasan pelbagai pihak adalah ‘hilangnya’ golongan agamawan yang beribu-ribu keluarannya setiap tahun dari pelbagai institusi pengajian terutama dari timur tengah. Jika dinisbahkan kepada peratusan, ia sedikit sebanyak mampu menyelamatkan masalah bebal kejahilan agama dalam kalangan masyarakat amnya. Namun, sehingga hari ini persoalan ini masih menjadi tanda soal yang belum terjawab.
Perkara ini jelas menjadi satu tamparan hebat dan mencabar kewibawaan pemegang ijazah agama kerana isu pemasalahan aqidah, akhlak, cetek agama, kurang keterlibatan dan sebagainya merupakan masalah berantai yang memerlukan kepakaran yang sudah pasti urusan dakwah ini menjadi amanah maha berat di bahu para agamawan untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW. Tempelan kata-kata mahu menjaga ‘rice cooker’ juga turut dihangatkan apabila bercakap tentang sumbangan. Apakah sebanarnya kayu ukur kepada pengorbanan dalam mewakafkan diri pada perjuangan Islam yang saban hari semakin giat diputar belit, diragukan, diliberalkan oleh golongan yang bencikan Islam tetapi bertopengkan Islam.
Kepentingan tarbiah sebagai tunjang utama dalam apa jua keterlibatan dalam menyumbang, memberi, berkorban sehingga mampu meletakkan hanya Allah dan Rasul sebagai ikutan. Berani menyanggah kebatilan sekalipun diancam bahaya dengan pelbagai ugutan, itulah sunnatullah dalam berjuang, ada yang kasih dan ada yang benci. Persoalannya kepada kita…adakah kita benar-benar serius dalam memahami DAKWAH ISLAMIAH dalam situasi yang kurang membina kekuatan dan keyakinan. Kita akui akan kehebatan Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah dan kesesuai pelaksanaanya disepanjang zaman, tetapi adakah kita pernah berimaginasi bagaimana cabaran-cabaran, kesukaran, halangan, sekatan dan bahaya yang bakal menanti di depan. Sesungguhnya kekuatan aspek rohani, hati dan jiwa menjadi pertaruhan dalam misi dan visi penting ini. Terkadang kita lupa akan pembinaan keseluruhan persediaan yang perlu ada pada diri kita untuk menjadi pendakwah atau promoter Islam ini. Aspek tarbiah ruhiah sangat berperanan dalam menghadapi kekalutan dalam kancah kejahilan apatah lagi apabila turut berdepan dengan para ulamak su’ dan juhala’ hard core. Oleh kerana itu, bukan mudah untuk turun menjadi promoter Islam tanpa didikan atau tarbiah fizikal dan spiritual dalam pengorbanan kerana tugas ini terdapat padanya sumber pahala yang sangat besar. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah As-Sof ayat 10 hingga 13 yang bermaksud :

“ wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ‘Adn’. itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yan kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman”.
Sangat terang lagi bersuluh bentuk perniagaan yang Allah tawarkan kepada kita selaku hambaNya yang penuh kekurangan dan kelemahan tetapi kuat keinginan. Justeru apa lagi alasan yang boleh kita utarakan untuk lari dari tanggungjawab sebagai dai’e ila Allah dan juga tanggunjawab sebagai promoter kepada produk Islam terunggul ini. Golongan agamawan adalah sangat dinanti dan menjadi harapan tertinggi masyarakat dalam misi merubah wajah dan diri mereka yang sering dilanda pasrah dengan kejahilan lantaran tiada yang sudi membimbing mereka dengan ikhlas tanpa mengharap apa-apa imbuhan duniawi dan sekali lagi penulis ingin nyatakan bahawa tarbiah adalah elemen terpenting untuk direnungkan.

PEMUDA PEMUDI TOP AGENT PERUBAHAN

Dalam sebuah hadis nabi SAW bersabda : “ aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik) sesungguhnya Allah telah mengutusiku dengan agama yang lurus lagi toleransi lalu aku telah dibantu kukuh oleh pemuda sedang orang tua menyanggahiku”.
hadis ini menunjukkan nabi SAW sangat berbangga dengan golongan muda yang tampil rapat ke sisi nabi SAW dalam awal perjuangan sehingga ke pembukaan mekah al-mukarramah. Inilah kerja dan sikap yang perlu dicontohi oleh kita semua dalam melakar episode perubahan. Setiap apa yang datang kepada kita melalui sirah para nabi dan rasul serta sejarah kehebatan para sahabat mampu diulangi kegemilangannya dengan syarat semua pihak benar –benar meyakini hanya Islam agama penyelesaian segala masalah dan perkara. Justeru bertepatan dengan wasiat mulia baginda tersebut, seharusnya menjadi berita gembira kepada kita bahawa usia muda adalah sangat emas sebenarnya untuk menjayakan egenda perubahan. Ianya bermula dengan melakukan anjakan dari dalam diri, keluarga, masyarakat sehingga tercetus dari arus perubahan itu kesedaran dan melahirkan kefahaman bahawa perubahan juga perlu sehingga ke peringkat pemerintahan iaitu dari pemerintahan bukan Islam kepada menurut Islam. Tugas ini sekali lagi sangat berat untuk digalas tetapi di sebalik berat itu ada tawaran terhebat dari Pencipta kepada hambanNya yang berjiwa Rabbani.
Dari kebanyakkan kita juga sering memberikan pelbagia alasan untuk tidak bersama dengan mereka yang berada di dalam saf perjuangan Islam. Terutama golongan mahasiswa dan mahasiswi di alam pengajian kampus. Terlalu sempit jika melihat skop menimba ilmu hanya di bilik kuliah atau bentuk tallaqi sahaja sedangkan ilmu Allah ini maha luas kurniaanNya. Sedarkah kita, golongan yang suka meragukan umat Islam akan sentiasa mengasak pemikiran pelajar Islam khasnya supaya hanya menumpukan kepada pelajaran semata-semata tanpa mencampuri urusan luar. Apa yang berlaku disekeliling sering disarankan supaya tidak perlu diambil pusing kerana dikatakan bukan masa untuk mencampuri isu-isu yang timbul. Perkara ini diwar-warkan lantaran mereka sangat takut dengan suara-suara pemuda dan pemudi yang merupakan top agent sebagai pemangkin kuat kepada arus perubahan berteraskan idealisma perjuangan dan semangat darah muda yang bisa berkorban apa sahaja demi agama dan bangsa. Sebagaimana yang pernah berlaku di Indonesia yang melibatkan ribuan mahasiswa dan mahasiswi berdemonstrasi dengan laungan islah mampu menarik perhatian para pemerintah, begitu juga peristiwa pergulingan dictator Suharto di mana golongan mahasiswa juga turut berperanan dalam proses merintis perubahan.

Sukar sebenarnya menginjak perubahan. Namun setiap orang mesti memulakan langkah untuk berpencak dengan keyakinan dan keberanian sesuai dengan title pemuda harapan Negara pemudi tiang Negara. Harapan dan tanggungjawab agama sangat sarat di bahu. Untuk melunaskan segala wasiat dan amanah ini, bukan sedikit mahar yang perlu dibayar, namun janji Tuhan tidak pernah mungkir dan kasih sayang Allah tidak pernah bertepi. Oleh yang demikian itu, tanda kita mengakui hanya Allah yang disembah dan Rasulullah SAW pesuruhNya maka tiada kata tidak untuk perjuangan Islam ini melainkan wajib diteruskan.

ASPEK KUALITI YANG PERLU DIPERTINGKATKAN

Sebagaimana semua maklum bahawa golongan berpelajaran merupakan asset penting kepada pembangunan Negara, ia memerluan pemerhatian serius sejajar dengan realiti persaingan dunia yang tanpa batasan dan sempadan. Persediaan dari aspek kualiti perlu dijana dan digarap dengan sebaiknya agar Islam kembali dinobat, direalisasi dan dilestarikan.

1) Beriman dengan kesyumulan Islam

Membetulkan kembali pegangan atau aqidah imaniah dalam ertikata beriman secara keseluruhan ajaran Islam iaitu kesyumulan Islam terutama dari sudut penghayatan, pandangan dan praktikal.

2) Serius dengan kesedaran menambah Thaqafah
Pentingnya mempertingkatkan thaqafah adalah bertitik tolak dari kesedaran jiwa yang dalam dan merupakan keperluan penting bagi menghadapi persaingan yang cukup sengit dalam mendepani cabaran semasa.

3) Menggabungkan diri dengan gerakan dan kepimpinan Islam serta komited dengan aktivitinya.

Berjuang dalam satu saf adalah menjadi kewajipan setiap muslim. Oleh kerana itu tiadalah kuat jika berjuang sendirian malah akan mudah putus asa dan lemah. Kewajipan ini bertepatan dalam surah As-Soff ayat 4.

4) Membentuk keperibadian muslim

Membina dan membentuk keperibadian muslim adalah sangat penting kerana agama Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kemuliaan akhlak walau di mana jua berada. Terkadang orang boleh tertarik dengan Islam hanya dengan melihat akhlak yang indah mengikut acuan Islam. Sesungguhnya pada Rasulullah SAW itu terdapat contoh akhlak dan peribadi unggul yang tidak ada seorang pun mampu menandinginya. Aspek wibawa dan berkarisma juga harus dilihat positif kerana ia adalah nilai tambah yang baik untuk dipamerkan khususnya sebagai pemimpin. Kebiasaannya aspek ini agak kurang diambil peduli oleh golongan agamawan menyebabkan agak terkebelakang dalam slot-slot yang agak mencabar.

5) Membina semangat juhud dalam berjuang

sejak mutakhir ini, golongan sekular banyak memainkan peranan di balik tabir dengan berusaha secara halus membuang tajuk-tajuk perbahasan jihad di dalam matapelajaran agama Islam di sekolah-sekolah, malah mereka cuba membuat provokasi bahawa jihad merupakan salah satu bentuk keganasan yang bertentangan dengan hak asasi manusia. Sebab itulah tidak hairan melihat, ramai golongan remaja muda belia hari ini sangat lemah jiwa dan mindanya dengan khayalan cinta, hiburan budaya songsang dan ketagihan dadah yang merosakkan.

6) Kemahiran menguasai dan membina pengaruh dalam masyrakat
Aspek penting yang terakhir adalah kemahiran dalam menguasai dan membina pengaruh dalam masyarakat. Aspek ini adalah antara perkara penentu kepada kelansungan gerak kerja dakwah Islamiah dari sudut cuba memanfaatkan ruang-ruang yang ada seperti slot public speaking, forum, pidato, ceramah, penulisan, mesyuarat dan pelbagai medium lain lagi yang boleh dimanfaatkan dalam pembinaan tersebut.

ISTIQAMAH SEBAGAI PELENGKAP PERJUANGAN

Dalam memenuhi kelansungan kerja-kerja dakwah ini, kepentingan istiqamah perlu diberi penekanan sentiasa, kerana tanpa istiqamah akan berlaku pelbagai kepincangan dalam perubahan. Perubahan yang dibawa hendaklah tidak terkeluar dari manhaj Rabbani kerana menjadi kebiasaan para pejuang ini ada yang mudah terikut-ikut dengan budaya moderat terutama golongan muslimat. Sikap berani mencipta arus perlu diagendakan kerana ia mesti dialasi dengan istiqamah. Cabaran-cabaran yang ada anggaplah sebagai tanda kasih dan sayang Allah dalam menguji keyakinan dan keimanan yang membulat di dalam hati. Aspek istiqamah adalah klimaks kepada segala gerak kerja dakwah kerana ramai yang serius diawal bertugas, tetapi tidak ramai yang istiqamah dan thabat sehingga ke penghujung nyawa. Oleh itu, dalam memenangkan Islam ini syaratnya adalah mesti berjuang dan bekorban, justeru itu tiada short cut dalam berjuang kerana itulah aspek istiqamah adalah pelengkap kepada kejayaan dan kemenangan.

Sukalah penulis ingin mengadaptasikan kembali ucapan Al-Marhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil Mohd Nor : “ memang banyak orang yang dapat khayalkan sesuatu tetapi tidak ramai daripadanya dapat menyusun khayalannya dalam satu rangkaian kata-kata yang teratur…dan memang ramai orang yang dapat menyusun kata-kata yang teratur dan mempesonakan tetapi tidak diamalkan…dan mungkin ramai yang dapat mengamalkan kata-kata yang teratur tetapi tidak ramai pula yang dapat berjihad, yang dapat meneruskan perjuangan sebagai satu peningkatan amal…dan mungkin ramai pula yang dapat berjihad tetapi tidak ramai pula yang dapat bertahan dengan ujian-ujiannya…inilah proses perjuangan umat ini!”
Demikian proses perjuangan Islam yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari istiqamah para pejuang yang ikhlas dalam dakwah mereka. Lalu di mana kita? Minda yang mungkin sarat dengan idealisma perjuangan tetapi adakah istiqamah menjadi agenda tindakan.

PENUTUP

Sebelum ke noktah permisi, penulis ingin mengajak bersama untuk merenungi kembali diri kita dan pejuangan yang masih jauh didepan bagaimana mahu mencipta perubahan yang pastinya memerlukan kesedaran, kefahaman dan pengorbanan yang bukan sebarang. Firman Allah SWT dalam surah As-Soff ayat 14 yang bermaksud :
“wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela agama Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu : “ siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya?) mereka menjawab : “kamilah pembela-pembela agama Allah!”. (setelah nabi Isa tidak ada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi tetap kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
Demikian peringatan yang Allah SWT nyatakan kepada kita melalui kisah para nabi terdahulu. Ia adalah panduan dan ingatan berpanjangan untuk kita memilih jalan yang lurus bagi melunasi tugas sebagai pejuang yang semestinya mempunyai daya dinamik bagi mempromosikan Islam agama terbaik ke seluruh pelusuk dunia. Semoga hati kita tidak dipaling ke belakang zaman kejahilan yang membuta penuh kesonsangan yang menipu daya. Siiru a’la barakatillah…

Islam For All