Wednesday, June 15, 2011

DUNIA OH DUNIA...



Sorotan peristiwa sepanjang tahun terus memberikan pelbagai kesan kepada lapisan masyarakat. Pun begitu, masih di peratus yang tinggi kalangan wanita yang tidak peka dengan arus pembangunan dan penyelewengan. Sikap di ‘zone selesa’ telah mengakibatkan isu kebejatan berleluasa di Malaysia khususnya. Fenomena ini jelas kelihatan apabila masalah keruntuhan akhlak muda mudi dan warga emas semakin menjadi-jadi ekoran kurangnya kesedaran terhadap kepincangan pendidikan hari ini.

SISTEM PENDIDIKAN

Secara keseluruhannya, masih ramai yang tidak merasa apa-apa apabila sistem pendidikan sekolah hari ini ada dua aliran. Satu akademik atau dinamakan juga aliran secular dan kedua aliran agama. Mengapa harus ada aliran begini? Apakah boleh orang Islam khususnya mengikuti pendidikan berbeza ini? Adakah boleh diberi pilihan kepada orang Islam untuk memilih hendak belajar agama atau tidak? Hal-hal ilmu fardu Ain semakin dikecilkan skop pembelajarannya. Mengapa ia tidak menjadi ilmu yang diwajibkan kepada semua mempelajarinya sama ada muslim atau non muslim? Sedangkan majoriti warganegara Malaysia adalah Beragama Islam. Soal halal dan haram kurang diambil perhatian serius kerana tidak ada subjek tafsir, hadis, feqah dalam sistem pendidikan khusunya dalam aliran secular, oleh itu apabila selesai pelajar menghabiskan sisa usia di bangku sekolah, kebanyakkannya tidak ada lagi usaha untuk cuba mencari dan mempelajari selok belok agama di tempat lain. Maka wujudlah generasi yang hanya melihat dunia adalah segalanya dan marah bila membicarakan hal-hal kematian, akhirat, pahala, dosa dan sebagainya.

Isu perzinaan hari ini semakin menggila dan cukup biasa didengari walau dimana-mana sekolah. Guru-guru memberitahu ada kalangan pelajar mereka yang mengandung, berzina dan sebagainya adalah biasa, bukan lagi suatu mengejutkan apatah lagi merisaukan jiwa. Apakah kita tidak melihat di mana kelemahan besar kepada berlakunya kes-kes yang mencalar agama dan aqidah umat islam melayu ini? Couple pula seolah-olah menjadi seperti makanan asasi apabila generasi muda hari ini meliar kemana-mana mencari pasangan hanya kerana perasaan sunyi, sepi dan lebih parah lagi ia dianggap penting bagi menunjukkan normalnya anak muda alaf baru ialah wajib bercouple dan merasmikan ‘dara’ sebagai tanda satu pengorbanan sebenar kepada dunia couple. Maruah dihenyak telapak kaki tiada masalah. Bak kata orang ‘ dunia ini aku yang punya’.

DULU

Sewaktu dulu, di alam pengajian agama kurang diberi keutamaan. Bagi sesetengan masyarakat dan ibubapa, sekolah agama adalah tempat terakhir kemasukkan apabila anak tidak pandai dan tidak berakhlak. Seolah-olah di situlah tempat pemulihan. Ia sebenarnya memang benar! Sekolah agama adalah tempat pemulihan. Pemulihan aqidah, akhlak, amal, iman dan seertinya ke arah yang diredhai Allah SWT. Suatu ketika dulu juga, pelajar agama sering dipandang sepi dan rendah, kerana merasakan tiada masa depan yang cerah, tidak mampu kemana-mana, sijil tidak dii’traf malah paling teruk tidak menguntungkan lansung kepada arus pembangunan dan kemodenan. Ia lebih dilihat kepada kekampungan dan kolot.

KINI

Kini bidang agama semakin dicari-cari seiring derasnya arus perubahan dan kejahilan. Alhamdulillah. Namun begitu, ia menjadi cabaran besar kepada pendidik apabila generasi mutakhir punah yang bukan sebarang. Proses pemulihan menjadi sukar lantaran suasana yang menyumbang kepada bertambahnya kebejatan maruah. Anak-anak muda semakin liar dan gilakan hiburan terlampau kerana tiada sekatan dan pengawalan yang serius. Khususnya kawalan dari ibubapa lantaran tuntutan perlu bekerja keras untuk menampung kos hidup semakin meninggi. Anak – anak kurang diperhatikan buku pelajaran mereka, sembahnyanya, al-qurannya dan akhlaknya. Apabila ini yang berlaku sudah pasti akan membawa kepada terbentuknya masyarakat yang kurang kasih sayang dan pedoman. Maka akan dicarilah kasih sayang yang salah dan akhirnya membawa masalah kepada institusi kekeluargaan. Anak-anak akan melakukan apa sahaja masalah untuk menarik perhatian ibubapa, guru dan masyarakat sekeliling. Lihatlah fenomena yang berlaku saban hari kita dihidangkan dengan kes-kes remaja dan sikap anak muda yang membimbangkan terutama hal yang bersangkutan dengan zina, buang anak, rompakan, rempit, mencuri, membunuh dan dadah. Apakah kita yang melihat ini sekadar melihat seperti orang buta atau melihat dengan berfikir apakah yang perlu dilakukan bagi memperbaiki barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita hari ini. Adakah ini generasi ulul albab yang pernah digembar gemburkan suatu ketika bagi menjadi pelapis kepimpinan Negara?

MENUJU SERBA MODEN

Dalam menuju arus modenisasi yang tidak terbatas kini, kita sering dialpakan dengan fungsi kejadian manusia di muka bumi. Kehancuran demi kehancuran berlaku di dalam sedar dan di luar sedar. Golongan yang berciri munafiq juga semakin hebat ketaranya. Golongan yang berjuang ingin menobatkan Islam difitnah, diseleweng, disihir dan sebagainya. Besar sungguh cabaran buat pendokong perjuangan hari ini. Para pelapis pula semakin sukar menimbulkan diri di balik peristiwa dan rencah kehidupan. Lawan tetap lawan…bangkitlah golongan muda menjadi agen perubah! Sekarang ialah masa untuk berubah..ubah kerajaan secular kepada kerajaan Islam…tiada lagi penawar mujarab melainkan kembali kepada acuan Islam yang dibawa oleh junjungan mulia Rasulullah SAW. Berpeganglah pada Al Quran dan As Sunnah nescaya kita tidak akan sesat selamanya.

No comments:

Post a Comment