Wednesday, June 15, 2011

DUNIA OH DUNIA...



Sorotan peristiwa sepanjang tahun terus memberikan pelbagai kesan kepada lapisan masyarakat. Pun begitu, masih di peratus yang tinggi kalangan wanita yang tidak peka dengan arus pembangunan dan penyelewengan. Sikap di ‘zone selesa’ telah mengakibatkan isu kebejatan berleluasa di Malaysia khususnya. Fenomena ini jelas kelihatan apabila masalah keruntuhan akhlak muda mudi dan warga emas semakin menjadi-jadi ekoran kurangnya kesedaran terhadap kepincangan pendidikan hari ini.

SISTEM PENDIDIKAN

Secara keseluruhannya, masih ramai yang tidak merasa apa-apa apabila sistem pendidikan sekolah hari ini ada dua aliran. Satu akademik atau dinamakan juga aliran secular dan kedua aliran agama. Mengapa harus ada aliran begini? Apakah boleh orang Islam khususnya mengikuti pendidikan berbeza ini? Adakah boleh diberi pilihan kepada orang Islam untuk memilih hendak belajar agama atau tidak? Hal-hal ilmu fardu Ain semakin dikecilkan skop pembelajarannya. Mengapa ia tidak menjadi ilmu yang diwajibkan kepada semua mempelajarinya sama ada muslim atau non muslim? Sedangkan majoriti warganegara Malaysia adalah Beragama Islam. Soal halal dan haram kurang diambil perhatian serius kerana tidak ada subjek tafsir, hadis, feqah dalam sistem pendidikan khusunya dalam aliran secular, oleh itu apabila selesai pelajar menghabiskan sisa usia di bangku sekolah, kebanyakkannya tidak ada lagi usaha untuk cuba mencari dan mempelajari selok belok agama di tempat lain. Maka wujudlah generasi yang hanya melihat dunia adalah segalanya dan marah bila membicarakan hal-hal kematian, akhirat, pahala, dosa dan sebagainya.

Isu perzinaan hari ini semakin menggila dan cukup biasa didengari walau dimana-mana sekolah. Guru-guru memberitahu ada kalangan pelajar mereka yang mengandung, berzina dan sebagainya adalah biasa, bukan lagi suatu mengejutkan apatah lagi merisaukan jiwa. Apakah kita tidak melihat di mana kelemahan besar kepada berlakunya kes-kes yang mencalar agama dan aqidah umat islam melayu ini? Couple pula seolah-olah menjadi seperti makanan asasi apabila generasi muda hari ini meliar kemana-mana mencari pasangan hanya kerana perasaan sunyi, sepi dan lebih parah lagi ia dianggap penting bagi menunjukkan normalnya anak muda alaf baru ialah wajib bercouple dan merasmikan ‘dara’ sebagai tanda satu pengorbanan sebenar kepada dunia couple. Maruah dihenyak telapak kaki tiada masalah. Bak kata orang ‘ dunia ini aku yang punya’.

DULU

Sewaktu dulu, di alam pengajian agama kurang diberi keutamaan. Bagi sesetengan masyarakat dan ibubapa, sekolah agama adalah tempat terakhir kemasukkan apabila anak tidak pandai dan tidak berakhlak. Seolah-olah di situlah tempat pemulihan. Ia sebenarnya memang benar! Sekolah agama adalah tempat pemulihan. Pemulihan aqidah, akhlak, amal, iman dan seertinya ke arah yang diredhai Allah SWT. Suatu ketika dulu juga, pelajar agama sering dipandang sepi dan rendah, kerana merasakan tiada masa depan yang cerah, tidak mampu kemana-mana, sijil tidak dii’traf malah paling teruk tidak menguntungkan lansung kepada arus pembangunan dan kemodenan. Ia lebih dilihat kepada kekampungan dan kolot.

KINI

Kini bidang agama semakin dicari-cari seiring derasnya arus perubahan dan kejahilan. Alhamdulillah. Namun begitu, ia menjadi cabaran besar kepada pendidik apabila generasi mutakhir punah yang bukan sebarang. Proses pemulihan menjadi sukar lantaran suasana yang menyumbang kepada bertambahnya kebejatan maruah. Anak-anak muda semakin liar dan gilakan hiburan terlampau kerana tiada sekatan dan pengawalan yang serius. Khususnya kawalan dari ibubapa lantaran tuntutan perlu bekerja keras untuk menampung kos hidup semakin meninggi. Anak – anak kurang diperhatikan buku pelajaran mereka, sembahnyanya, al-qurannya dan akhlaknya. Apabila ini yang berlaku sudah pasti akan membawa kepada terbentuknya masyarakat yang kurang kasih sayang dan pedoman. Maka akan dicarilah kasih sayang yang salah dan akhirnya membawa masalah kepada institusi kekeluargaan. Anak-anak akan melakukan apa sahaja masalah untuk menarik perhatian ibubapa, guru dan masyarakat sekeliling. Lihatlah fenomena yang berlaku saban hari kita dihidangkan dengan kes-kes remaja dan sikap anak muda yang membimbangkan terutama hal yang bersangkutan dengan zina, buang anak, rompakan, rempit, mencuri, membunuh dan dadah. Apakah kita yang melihat ini sekadar melihat seperti orang buta atau melihat dengan berfikir apakah yang perlu dilakukan bagi memperbaiki barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita hari ini. Adakah ini generasi ulul albab yang pernah digembar gemburkan suatu ketika bagi menjadi pelapis kepimpinan Negara?

MENUJU SERBA MODEN

Dalam menuju arus modenisasi yang tidak terbatas kini, kita sering dialpakan dengan fungsi kejadian manusia di muka bumi. Kehancuran demi kehancuran berlaku di dalam sedar dan di luar sedar. Golongan yang berciri munafiq juga semakin hebat ketaranya. Golongan yang berjuang ingin menobatkan Islam difitnah, diseleweng, disihir dan sebagainya. Besar sungguh cabaran buat pendokong perjuangan hari ini. Para pelapis pula semakin sukar menimbulkan diri di balik peristiwa dan rencah kehidupan. Lawan tetap lawan…bangkitlah golongan muda menjadi agen perubah! Sekarang ialah masa untuk berubah..ubah kerajaan secular kepada kerajaan Islam…tiada lagi penawar mujarab melainkan kembali kepada acuan Islam yang dibawa oleh junjungan mulia Rasulullah SAW. Berpeganglah pada Al Quran dan As Sunnah nescaya kita tidak akan sesat selamanya.

Saturday, July 31, 2010

DI LANGKAWI...mencari jatidiri di penjuru kemodenan yang tidak bertamadun..






apabila diriku dipelawa untuk mangikuti hari keluarga sekolah, ramai yang menyangka imej ku tetap sama iaitu berjubah dan bertudung labuh. sukar sebenarnya apabila penampilan diperhati. namun begitu, ia satu cabaran padaku bagaimana mempamerkan islamic image. padaku pandanan manusia tidak perlu di layan sangat kerana, hati yang jinak dengan islam pasti dapat menerima perkara yang menepati syara' dan menentang perkara yang sebaliknya.

kadang-kadang aku hairan mengapa manusia sering tertipu dengan perasaan dan monolog sendiri. apapun...pakaian ku ini simpel dan biasa...ia diterima tanpa kata...Rabbi yassir la tua'ssir fi sabilik...

Wednesday, July 28, 2010

citarasa yang pelbagai...

masa begitu pantas berlalu...rasa pantas ini juga adalah tanda kiamat semakin hampir. gegaran bumi semakin menjadi-jadi. semasa bercuti di langkawi berita menyatakan ada dua gegaran di laut berlaku bertempat di indonesia membuat diriku tergaman seketika. mindaku menerawang jauh memikirkan amalan diri dan masa depanku di negara kekal abadi. terasa seram mengingatkan bekalan yang tidak mencukupi. ya Allah...hatiku terus dibawa menginsafi akan kehebatan ujian Allah pada setiap hambaNya. ujian memang tidak sama. dalam sendirian merenungi apa yang ada pada ku. ilmu yang ku kutip sekian lama masih belum ku manfaatkan. sukarnya meraih redhaMU ya Allah. berada dalam linkungan masyarakat yang dahagakan ilmu dan petunjuk Allah. Betapa banyaknya ilmuan agama yang telah pulang dan berkhidmat di atas muka bumi Allah ini...namun tenaga memberi masih kurang kelihatan. benarlah ya Allah...berada dalam perjuangan agamaMU ini adalah insan terpilih. dalam Engkau pilih, dipilih lagi yang benar-benar hatinya dekat dan ikhlas kerana MU. inilah yang dikatakan golongan yang sedikit. Golongkahlah aku kalangan sedikit.

panjanganya perjuangan ini. perit dan letih. menyebut tak semudah melaksana. hati dan mindaku terus menerawang lagi menerobos dunia luar. negara yang pernah aku jejaki menuntut ilmu Allah dengan pelbagai rasa dan pengalaman. alam belajar memang indah, masalah yang datang sangat simple sebenarnya. apabila ku cuba bandingkan kehidupan sana dengan kehidupan ku hari ini sangat ketara perbezaannya. Semuanya memerlukan kekuatan dan kesabaran yang tinggi. Hati kena selalu waspada, jangan ada sedikit pun rasa ujub bila dipuji, minta disukai dan sebagainya. Ia adalah ujian yang berat dalam mentarbiah hati. Ya Allah bantulah diriku. Dalam diam hati dan mindaku sentiasa berfikir. Bagaimana sebenarnya tarbiah yang difahami oleh kebanyakkan orang. Kerana banyak juga yang tewas bila berdepan dengan realiti perjuangan ini. Agak mendebarkan bila diteliti. Ini masa bujang, tak perlu fikir macam orang dah berumahtangga fikir. Ini yang membuatkan diri boleh on call kemana-mana bila diundang. Berlainan pula dengan mereka yang bergelar isteri. Banyaknya perkara yang perlu difikirkan. Mungkin juga sebab kurangnya perkongsian. Tanggungjawab perlu dipikul bersama, tetapi berapa kerat sangat para suami hari ini yang mahu menyelami situasi isteri. Ahh...perempuan memang emosi! Itulah antara ungkapan penyejuk hati suami tatkala melihat isteri keletihan dan marah2. Ungkapan itu juga lah yang membuatkan suami abaikan tanggungjawab. Waduss...hidup satu perjuangan! Perlu kreatif cipta suasana kasih sayang dan kebahagaiaan.
Cabaran oh cabaran... tersenyum aku sendirian bila melihat telatah adik2 yang begitu exited dengan perjuangan...dalam tidak sedar, sebenarnya tiada kayu ukur yang jelas kerana dunia perjuangan sangat subjektif, boleh berubah dan unik. Memerlukan makanan tambahan pada amalan dan perlukan kekuatan yang bukan sebarang. Jika diri terbiasa dengan alasan, sampai ke mana-mana pun begitulah keadaan. Menaqal kalam ulamak dan sebagainya adalah rutin biasa bagi yang mencari kekuatan. Tanpa sedar, ilmu, peringatan dan amaran melimpah di dalam al-Quran tidak pula difokus. Akibatnya timbullah persoalan kenapa tidak berjuang, melenting apabila ditanya. Realiti alam dakwah sungguh hebat. Ujian datang kiri, kanan, depan dan belakang. Bersediakah kita? Jika bersedia...mari bersama-sama tampil ke hadapan menjuarai isu ummah dan Islam.

Monday, April 12, 2010

UMMAH PERLUKAN PENGISLAH YANG IKHLAS!



Dunia kini semakin menampakkan dirinya semakin uzur. Di sana sini penuh dengan pelbagai bencana yang menimpa termasuk juga petanda-petana besar akan berlakunya kiamat. Mutakhir ini, semakin kerap kedengaran tentang kematian mengejut, runtuhan, banjir besar, keruntuhan akhlak, zina, buang anak dan pelbagai petanda lagi yang cukup menggerunkan.


Semalam guru-guru sekolah saya riuh dengan pelbagai soalan dan perkongsian temuduga permohonan jawatan tetap kerajaan. Dalam banyak perkara yang timbul, saya cukup tertarik dengan kenyataan seorang pegawai temuduga terbabit yang berbunyi : “tahun 2020 sijil agama sudah tidak diakui dan tidak dipandang lagi”. Berderau juga darah saya mendengarnya. Pelbagai respon ada ketika guru tersebut mengutarakan perkara itu. Ada yang senyum selamba, marah, buat tidak tahu, tdak kurang juga yang memendam rasa. Ya Allah…biar bagaimana sekalipun yang diperkatakan dan yang akan dilakukan, agama ini tidak sekali-kali akan lenyap dari bumi ini.
Apa yang diperkatakan oleh pegawai itu, saya cuba renunginya sedalam dan sejauhnya. Memang ada sedikit kebenarannya. Lihatlah pada kolej dan university hari ini yang wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan, fakulti yang ditawarkan kebanyakkannya adalah menjurus kepada kemahiran dan material. Sepertinya terlalu janggal mendengar university atau kolej Islam yang ingin dibina. Jika adapun tidak diwar-warkan. Kebanyakkan kolej kemahiran yang ditawarkan tidak ada yang menyediakan fakulti pendidikkan Islam. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana manusia hidup tanpa agama. Apa yang berlaku pada hari ini pun sudah cukup memeningkan kepala dan sukar menemui penyelesaian, inikan pula jika pendidikan Islam tidak diberi penekanan yang sebaiknya.


Mengikut kebiasaan adalah perkara biasa apabil ada orang yang membenci orang agama. Hal iman dan kuffar adalah suatu yang bertentangan sampai ke kiamat. Ia tidak akan bersatu selama-lamanya. Silibus agama Islam khususnya yang berkaitan dengan tauhid, feqah, sirah, bahasa Arab, tasawwur Islam dan semua subjek yang menjurus kepada Islam adalah tidak lansung di galakkan atau dipentingkan. Apa yang paling dikesalkan adalah sudah berani timbul dan dijaja di sana sini bahawa golongan yang bersijilkan pendidikan Islam dan aliran bahasa Arab tidak akan mendapat tempat bahkan juga akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Pada saya ini adalah pandangan yang sangat sempit dan berbaur prejudis pada agama Islam itu sendiri. Nafilah dengan seribu jawapan sekalipun bahawa anda tidak menghina agama dengan kenyataan tersebut. Sesungguhnya membiarkan anak bangsa jahil dan terpisah dari kehidupan beragama adalah satu pengkhianatan terhadap agama dan ummat Islam. Ini hakikat yang mesti dimuhasabahkan oleh semua. Saya menyeru kepada seluruh warga malaysia yang beragama Islam untuk bersama memupuk kesedaran bahawa Islam semakin terpinggir dari kehidupan umat, tolak UMNO dan BARISAN NASIONAL yang merupakan pengkhianat sebenar kepada rakyat dan agama. Sistem sekular dan kapitalis telah membutakan matahati mereka untuk mengajak rakyat kepada menghayati kehidupan muslim yang sebenar. Bersamalah kita menyokong dan mendokong perjuangan golongan yang berjuang memartabatkan Islam yang bersumberkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Monday, November 30, 2009

AIDIL ADHA...lambaian pengorbanan


sempena Aidul Adha ini riuh rendah memperkatakan tentang pengorbanan. kisah pengorbanan nabi Allah Ismail sering diperingatkan saban tahun tatkala menyambutnya. namun dalam kemeriahannya terdapat banyak persoalan dan isu yang wujud perlu kepada rungkain yang benar dan tepat. dalam seminggu ini ramai juga yang bertanya nak kerja apa...kerja sebenarnya apa2 pun boleh...tetapi untuk kerja menggerakkan dan membantu jamaah bukanlah mudah. ia tak mampu dilakukan oleh kebanyakkan orang. pengorbanan mudah dilafaz dan dilaungkan, tetapi penuh duri untuk merealisasikannya. apa sebenarnya yang difahami perihal pengorbanan ini?


tarbiah adalah tunjang dan tulang belakang pada makna pengorbanan. agak sukar menemui golongan istiqamah dalam mengharungi dunia gerakan Islam. saya terasa teruja dengan tokoh2 gerakan Islam abad moden seperti ikhwanul muslimin. tarbiah, kefahaman dan pengorbanan yang mereka ada cukup meyakinkan. tiada lintasan keraguan dalam kanvas perjuangan mereka untuk menegakkan Islam di muka bumi sekalipun terbuang namun terus berjuang. bagaimana pula halnya dengan kita? sirah para nabi dan Rasul Alaimussalam cukup hebat mengisahkan pelbagai cabaran dan ujian. taqwa dan tawakkal menjadi perkara utama dalam seruan mereka. urusan mencari rezeki dan wang memang perlu untuk menstabilkan kehidupan, tetapi janganlah nilai taqwa dan tawakkal disisihkan dari kehidupan dengan menimbulkan pelbagai alasan untuk tidak berjuang yang kadang2 tak masuk akal serta andaian semata2. realiti tidak seperti yang dijangka pun. saya tidaklah mahu menunding jari atau menyalah sesiapa...ia sekadar muhasabah bersama khususnya golongan agamawan. berapa ramai manusia yang membiarkan diri mereka ditipu dengan urusan dunia sehingga tidak mampu berbuat apa2. Bimbang juga sebenarnya untuk bercakap lantang dalam bab ini, kerana ujian terlalu hebat namun Allah mengajar hambaNya supaya saling ingat memperingati di antara satu sama lain.

semoga sedikit paparan ini mampu memberi satu cetusan untuk berfikir tentang kenapa kita diciptakan di atas muka bumi ini.


pengorbanan dalam berjuang bukan perkara biasa, jamaah memerlukan orang yang boleh memberikan pengorbanan terutama dari segi tenaga, ilmu dan kewangan. wujudkanlah dalam minda dan diri kita bahawa kita adalah golongan yang sentiasa memohon berada dalam kalangan benar2 terpilih untuk tegar menempuh pelbagai tribulasi ini terutama alam kerjaya. ikhlaskan niat moga ada keberkatan dalam pencarian rezeki dan usia kita di bumi Allah ini.

APAKAH NATIJAH DARI SEBUAH KEPULANGAN?


setiap hari dan ketika minda ini sering memikirkan ruang untuk menyumbang kerana cuaca yang tak menentu ditambah lagi dengan hujan yang lebat dan suasana yang sungguh sepi. terasa kosong dan jauh. ingin keluar ke negeri lain, di negeri sediri belum dipadu tenaga. belum tahu kekuatan dan sumbangan belum juga dihulurkan. plan ada, tapi belum ketemu ruang. semalam dikenduri walimah sahabatku, saya bertemu dengan rakan-rakan lama, sungguh gembira dan terharu sehingga mengalir air mata tanpa dibuat2. walau singkat pertemuan itu, sedikit sebanyak dapat juga saya ketahui tentang aktiviti yang dibuat. alhamdulillah...rakan2 saya ini walaupun latar belakang pendidikkan yang berbeza di universiti tapi akhirnya berkhidmat untuk jamaah sangat komited. namun ada kekurangan yang saya rasa atas tanggungjawab perlu lakukan beberapa teguran dan perubahan terutama penekanan tarbiah belum dfahami sepenuhnya. jiwa merasa meronta-ronta untuk bertemu sahabat2 lama lebih2 lagi yang berpengalaman dalam aktiviti gerakan.

terengganu hari ini banyak pembangunan material, pusat2 membeli belah cukup banyak dibina. walaupun harga barang meningkat tetapi tetap laris dan kelihatan biasa sahaja dipandangan umum. para gadis yang bekerja juga ramai dan boleh ditemui di mana2 kedai jualan. sedih juga melihat mereka kerana jelas kelihatan diraut wajah mereka kegersangan ilmu agama. minda ini kembali berfikir, apa yang boleh saya bantu mereka? sembahyang tak tahu la macam mana. aurat tidak lansung diendahkan. pakai tudung ikut trend. yang mana betul cara tutup tidak lansung difikirkan, asalkan selesa dan bergaya. di suatu ketika pernah ditimbulkan isu pemakai jubah dan tudung labuh sangat sukar diterima orang. untuk setakat hari ini, sepanjang saya bermuamalah dengan orang sekitar yang tidaklah seperti pemakaian saya, saya tidak nampak dan tidak pula merasakan orang menjauhi atau memandang pelik pada saya. kami mampu makan bersama, bersembang, berkenalan, berbincang dan sebagainya. saya cuba mencari kebenaran dari isu yang pernah dilontar dan diperkatakan. satu point yang dapat saya temui adalah sikap. jika kita dapat menjiwai apa itu dakwah, kita akan cuba menyesuaikan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat. sikap mesra dan mudah tersenyum serta banyak memulakan perkenalan adalah satu cara yang agak berkesan untuk orang mendekati kita. pandangan yang berbaur prejudis dan serong perlu dibuang. jika mahu menjadi da'ie, kita wajib memandang golongan yang tidak mempunyai pengetahuan agama ini dengan pandangan kasih sayang atau seperti pandangan seorang doktor melihat pesakit. sudah pasti ia akan menatijahkan suatu yang positif lagi optimis.

apepun yang dilakukan oleh mana2 pihak, yang penting adalah keikhlasan dan istiqamah mendokong Islam dalam jamaah yang benar2 bersifat syumuliah dalam agenda perjuangannya.
bertemu lagi di siri perkongsian.

salam juang buat semua!

Tuesday, September 29, 2009

AGAMAWAN DINAMIK PROMOTER ISLAM TERBAIK

Golongan agama suatu masa dahulu adalah golongan yang sangat dihormati seperti tok-tok guru dan ulamak, malah mereka sering menjadi rujukkan warga kampung dan sebagainya. Namun penghormatan ini semakin terhakis dan diketepikan peranannya. Melihat situasi mutakhir ini, kenyataan dan isu yang timbul berbaur sensitif menyentuh perihal keagamaan, sama ada berkenaan agama Islam mahupun berkaitan amalan agama lain. Apa yang paling menyedihkan ada antara isu tersebut dipolitikkan lantaran kejahilan dan dorongan hati hitam yang merajai diri. Jika dilihat perkembang terkini terhadap penerimaan ajaran dan pelaksanaan Islam oleh masyarakat non muslim khususnya, ia semakin memberansangkan. Ini merupakan khabar gembira kepada seluruh umat Islam dan pejuang kebenaran. Oleh kerana itu, realiti yang begitu positif ini memerlukan tenaga-tenaga atau promoter-promoter terbaik dan ia mesti digerakkan secara khusus terutama golongan agamawan.

Allah berfirman yang bermaksud :
“ serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya. Dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. Surah An-Nahl ayat 125.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ katakanlah : beramalalah kamu, sesungguhnya Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin akan melihat amal kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui perkara ghaib dan nyata. Maka (Allah) akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan”. Surah At-Taubah ayat 105.

Ayat ini jelas kepada kita suruhan beramal atau bekerja (dakwah) iaitu menyeru manusia kepada mengEsakan Allah SWT dan supaya menyeru manusia ke jalan yang satu iaitu beragama dengan agama Islam dengan mengimani secara keseluruhannya sama ada berkaitan perkara ghaib mahupun nyata. Maka menjadi kewajipan setiap yang arif dan alim dalam selok belok agama Islam ini untuk menjuarai dan terkehadapan dalam menangani pelbagai isu berkaitan hukum, fatwa ataupun misi penerangan Islam secara syumul bukan juzu’. Berdasarkan maksud nas di atas, boleh kita fahami bahawa Allah tidaklah bertanya akan hasil yang kita perolehi dari seruan tersebut tetapi Allah akan bertanya dan memberitahu kembali apa yang kita sumbangkan untuk Islam. Ingatlah Allah yang memberi hidayah petunjuk setelah seruan itu dilaksanakan.

TARBIAH SEBAGAI NUKLEARS DINAMIK PEJUANG

Dalam mengharungi kepelbagaian cabaran dalam misi penerangan dan menjadi promoter pruduk islam yang terbaik, ia memerlukan sandaran yang benar-benar ampuh dan kuat. Apa yang sering menjadi perbahasan pelbagai pihak adalah ‘hilangnya’ golongan agamawan yang beribu-ribu keluarannya setiap tahun dari pelbagai institusi pengajian terutama dari timur tengah. Jika dinisbahkan kepada peratusan, ia sedikit sebanyak mampu menyelamatkan masalah bebal kejahilan agama dalam kalangan masyarakat amnya. Namun, sehingga hari ini persoalan ini masih menjadi tanda soal yang belum terjawab.
Perkara ini jelas menjadi satu tamparan hebat dan mencabar kewibawaan pemegang ijazah agama kerana isu pemasalahan aqidah, akhlak, cetek agama, kurang keterlibatan dan sebagainya merupakan masalah berantai yang memerlukan kepakaran yang sudah pasti urusan dakwah ini menjadi amanah maha berat di bahu para agamawan untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW. Tempelan kata-kata mahu menjaga ‘rice cooker’ juga turut dihangatkan apabila bercakap tentang sumbangan. Apakah sebanarnya kayu ukur kepada pengorbanan dalam mewakafkan diri pada perjuangan Islam yang saban hari semakin giat diputar belit, diragukan, diliberalkan oleh golongan yang bencikan Islam tetapi bertopengkan Islam.
Kepentingan tarbiah sebagai tunjang utama dalam apa jua keterlibatan dalam menyumbang, memberi, berkorban sehingga mampu meletakkan hanya Allah dan Rasul sebagai ikutan. Berani menyanggah kebatilan sekalipun diancam bahaya dengan pelbagai ugutan, itulah sunnatullah dalam berjuang, ada yang kasih dan ada yang benci. Persoalannya kepada kita…adakah kita benar-benar serius dalam memahami DAKWAH ISLAMIAH dalam situasi yang kurang membina kekuatan dan keyakinan. Kita akui akan kehebatan Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah dan kesesuai pelaksanaanya disepanjang zaman, tetapi adakah kita pernah berimaginasi bagaimana cabaran-cabaran, kesukaran, halangan, sekatan dan bahaya yang bakal menanti di depan. Sesungguhnya kekuatan aspek rohani, hati dan jiwa menjadi pertaruhan dalam misi dan visi penting ini. Terkadang kita lupa akan pembinaan keseluruhan persediaan yang perlu ada pada diri kita untuk menjadi pendakwah atau promoter Islam ini. Aspek tarbiah ruhiah sangat berperanan dalam menghadapi kekalutan dalam kancah kejahilan apatah lagi apabila turut berdepan dengan para ulamak su’ dan juhala’ hard core. Oleh kerana itu, bukan mudah untuk turun menjadi promoter Islam tanpa didikan atau tarbiah fizikal dan spiritual dalam pengorbanan kerana tugas ini terdapat padanya sumber pahala yang sangat besar. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah As-Sof ayat 10 hingga 13 yang bermaksud :

“ wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ‘Adn’. itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yan kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman”.
Sangat terang lagi bersuluh bentuk perniagaan yang Allah tawarkan kepada kita selaku hambaNya yang penuh kekurangan dan kelemahan tetapi kuat keinginan. Justeru apa lagi alasan yang boleh kita utarakan untuk lari dari tanggungjawab sebagai dai’e ila Allah dan juga tanggunjawab sebagai promoter kepada produk Islam terunggul ini. Golongan agamawan adalah sangat dinanti dan menjadi harapan tertinggi masyarakat dalam misi merubah wajah dan diri mereka yang sering dilanda pasrah dengan kejahilan lantaran tiada yang sudi membimbing mereka dengan ikhlas tanpa mengharap apa-apa imbuhan duniawi dan sekali lagi penulis ingin nyatakan bahawa tarbiah adalah elemen terpenting untuk direnungkan.

PEMUDA PEMUDI TOP AGENT PERUBAHAN

Dalam sebuah hadis nabi SAW bersabda : “ aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik) sesungguhnya Allah telah mengutusiku dengan agama yang lurus lagi toleransi lalu aku telah dibantu kukuh oleh pemuda sedang orang tua menyanggahiku”.
hadis ini menunjukkan nabi SAW sangat berbangga dengan golongan muda yang tampil rapat ke sisi nabi SAW dalam awal perjuangan sehingga ke pembukaan mekah al-mukarramah. Inilah kerja dan sikap yang perlu dicontohi oleh kita semua dalam melakar episode perubahan. Setiap apa yang datang kepada kita melalui sirah para nabi dan rasul serta sejarah kehebatan para sahabat mampu diulangi kegemilangannya dengan syarat semua pihak benar –benar meyakini hanya Islam agama penyelesaian segala masalah dan perkara. Justeru bertepatan dengan wasiat mulia baginda tersebut, seharusnya menjadi berita gembira kepada kita bahawa usia muda adalah sangat emas sebenarnya untuk menjayakan egenda perubahan. Ianya bermula dengan melakukan anjakan dari dalam diri, keluarga, masyarakat sehingga tercetus dari arus perubahan itu kesedaran dan melahirkan kefahaman bahawa perubahan juga perlu sehingga ke peringkat pemerintahan iaitu dari pemerintahan bukan Islam kepada menurut Islam. Tugas ini sekali lagi sangat berat untuk digalas tetapi di sebalik berat itu ada tawaran terhebat dari Pencipta kepada hambanNya yang berjiwa Rabbani.
Dari kebanyakkan kita juga sering memberikan pelbagia alasan untuk tidak bersama dengan mereka yang berada di dalam saf perjuangan Islam. Terutama golongan mahasiswa dan mahasiswi di alam pengajian kampus. Terlalu sempit jika melihat skop menimba ilmu hanya di bilik kuliah atau bentuk tallaqi sahaja sedangkan ilmu Allah ini maha luas kurniaanNya. Sedarkah kita, golongan yang suka meragukan umat Islam akan sentiasa mengasak pemikiran pelajar Islam khasnya supaya hanya menumpukan kepada pelajaran semata-semata tanpa mencampuri urusan luar. Apa yang berlaku disekeliling sering disarankan supaya tidak perlu diambil pusing kerana dikatakan bukan masa untuk mencampuri isu-isu yang timbul. Perkara ini diwar-warkan lantaran mereka sangat takut dengan suara-suara pemuda dan pemudi yang merupakan top agent sebagai pemangkin kuat kepada arus perubahan berteraskan idealisma perjuangan dan semangat darah muda yang bisa berkorban apa sahaja demi agama dan bangsa. Sebagaimana yang pernah berlaku di Indonesia yang melibatkan ribuan mahasiswa dan mahasiswi berdemonstrasi dengan laungan islah mampu menarik perhatian para pemerintah, begitu juga peristiwa pergulingan dictator Suharto di mana golongan mahasiswa juga turut berperanan dalam proses merintis perubahan.

Sukar sebenarnya menginjak perubahan. Namun setiap orang mesti memulakan langkah untuk berpencak dengan keyakinan dan keberanian sesuai dengan title pemuda harapan Negara pemudi tiang Negara. Harapan dan tanggungjawab agama sangat sarat di bahu. Untuk melunaskan segala wasiat dan amanah ini, bukan sedikit mahar yang perlu dibayar, namun janji Tuhan tidak pernah mungkir dan kasih sayang Allah tidak pernah bertepi. Oleh yang demikian itu, tanda kita mengakui hanya Allah yang disembah dan Rasulullah SAW pesuruhNya maka tiada kata tidak untuk perjuangan Islam ini melainkan wajib diteruskan.

ASPEK KUALITI YANG PERLU DIPERTINGKATKAN

Sebagaimana semua maklum bahawa golongan berpelajaran merupakan asset penting kepada pembangunan Negara, ia memerluan pemerhatian serius sejajar dengan realiti persaingan dunia yang tanpa batasan dan sempadan. Persediaan dari aspek kualiti perlu dijana dan digarap dengan sebaiknya agar Islam kembali dinobat, direalisasi dan dilestarikan.

1) Beriman dengan kesyumulan Islam

Membetulkan kembali pegangan atau aqidah imaniah dalam ertikata beriman secara keseluruhan ajaran Islam iaitu kesyumulan Islam terutama dari sudut penghayatan, pandangan dan praktikal.

2) Serius dengan kesedaran menambah Thaqafah
Pentingnya mempertingkatkan thaqafah adalah bertitik tolak dari kesedaran jiwa yang dalam dan merupakan keperluan penting bagi menghadapi persaingan yang cukup sengit dalam mendepani cabaran semasa.

3) Menggabungkan diri dengan gerakan dan kepimpinan Islam serta komited dengan aktivitinya.

Berjuang dalam satu saf adalah menjadi kewajipan setiap muslim. Oleh kerana itu tiadalah kuat jika berjuang sendirian malah akan mudah putus asa dan lemah. Kewajipan ini bertepatan dalam surah As-Soff ayat 4.

4) Membentuk keperibadian muslim

Membina dan membentuk keperibadian muslim adalah sangat penting kerana agama Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kemuliaan akhlak walau di mana jua berada. Terkadang orang boleh tertarik dengan Islam hanya dengan melihat akhlak yang indah mengikut acuan Islam. Sesungguhnya pada Rasulullah SAW itu terdapat contoh akhlak dan peribadi unggul yang tidak ada seorang pun mampu menandinginya. Aspek wibawa dan berkarisma juga harus dilihat positif kerana ia adalah nilai tambah yang baik untuk dipamerkan khususnya sebagai pemimpin. Kebiasaannya aspek ini agak kurang diambil peduli oleh golongan agamawan menyebabkan agak terkebelakang dalam slot-slot yang agak mencabar.

5) Membina semangat juhud dalam berjuang

sejak mutakhir ini, golongan sekular banyak memainkan peranan di balik tabir dengan berusaha secara halus membuang tajuk-tajuk perbahasan jihad di dalam matapelajaran agama Islam di sekolah-sekolah, malah mereka cuba membuat provokasi bahawa jihad merupakan salah satu bentuk keganasan yang bertentangan dengan hak asasi manusia. Sebab itulah tidak hairan melihat, ramai golongan remaja muda belia hari ini sangat lemah jiwa dan mindanya dengan khayalan cinta, hiburan budaya songsang dan ketagihan dadah yang merosakkan.

6) Kemahiran menguasai dan membina pengaruh dalam masyrakat
Aspek penting yang terakhir adalah kemahiran dalam menguasai dan membina pengaruh dalam masyarakat. Aspek ini adalah antara perkara penentu kepada kelansungan gerak kerja dakwah Islamiah dari sudut cuba memanfaatkan ruang-ruang yang ada seperti slot public speaking, forum, pidato, ceramah, penulisan, mesyuarat dan pelbagai medium lain lagi yang boleh dimanfaatkan dalam pembinaan tersebut.

ISTIQAMAH SEBAGAI PELENGKAP PERJUANGAN

Dalam memenuhi kelansungan kerja-kerja dakwah ini, kepentingan istiqamah perlu diberi penekanan sentiasa, kerana tanpa istiqamah akan berlaku pelbagai kepincangan dalam perubahan. Perubahan yang dibawa hendaklah tidak terkeluar dari manhaj Rabbani kerana menjadi kebiasaan para pejuang ini ada yang mudah terikut-ikut dengan budaya moderat terutama golongan muslimat. Sikap berani mencipta arus perlu diagendakan kerana ia mesti dialasi dengan istiqamah. Cabaran-cabaran yang ada anggaplah sebagai tanda kasih dan sayang Allah dalam menguji keyakinan dan keimanan yang membulat di dalam hati. Aspek istiqamah adalah klimaks kepada segala gerak kerja dakwah kerana ramai yang serius diawal bertugas, tetapi tidak ramai yang istiqamah dan thabat sehingga ke penghujung nyawa. Oleh itu, dalam memenangkan Islam ini syaratnya adalah mesti berjuang dan bekorban, justeru itu tiada short cut dalam berjuang kerana itulah aspek istiqamah adalah pelengkap kepada kejayaan dan kemenangan.

Sukalah penulis ingin mengadaptasikan kembali ucapan Al-Marhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil Mohd Nor : “ memang banyak orang yang dapat khayalkan sesuatu tetapi tidak ramai daripadanya dapat menyusun khayalannya dalam satu rangkaian kata-kata yang teratur…dan memang ramai orang yang dapat menyusun kata-kata yang teratur dan mempesonakan tetapi tidak diamalkan…dan mungkin ramai yang dapat mengamalkan kata-kata yang teratur tetapi tidak ramai pula yang dapat berjihad, yang dapat meneruskan perjuangan sebagai satu peningkatan amal…dan mungkin ramai pula yang dapat berjihad tetapi tidak ramai pula yang dapat bertahan dengan ujian-ujiannya…inilah proses perjuangan umat ini!”
Demikian proses perjuangan Islam yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari istiqamah para pejuang yang ikhlas dalam dakwah mereka. Lalu di mana kita? Minda yang mungkin sarat dengan idealisma perjuangan tetapi adakah istiqamah menjadi agenda tindakan.

PENUTUP

Sebelum ke noktah permisi, penulis ingin mengajak bersama untuk merenungi kembali diri kita dan pejuangan yang masih jauh didepan bagaimana mahu mencipta perubahan yang pastinya memerlukan kesedaran, kefahaman dan pengorbanan yang bukan sebarang. Firman Allah SWT dalam surah As-Soff ayat 14 yang bermaksud :
“wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela agama Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu : “ siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya?) mereka menjawab : “kamilah pembela-pembela agama Allah!”. (setelah nabi Isa tidak ada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi tetap kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
Demikian peringatan yang Allah SWT nyatakan kepada kita melalui kisah para nabi terdahulu. Ia adalah panduan dan ingatan berpanjangan untuk kita memilih jalan yang lurus bagi melunasi tugas sebagai pejuang yang semestinya mempunyai daya dinamik bagi mempromosikan Islam agama terbaik ke seluruh pelusuk dunia. Semoga hati kita tidak dipaling ke belakang zaman kejahilan yang membuta penuh kesonsangan yang menipu daya. Siiru a’la barakatillah…

Islam For All